Sudah jelas bahawa manusia dalam pendapat Muhammad abduh diberi Tuhan kebebasan dalam kemahuan dan perbuatan , timbul pertanyaan sejauh manakah kebebasan itu? Manusia baginya tidak mempunyai kebebasan sakral(mutlak). Ia menyebut orang yang mengatakan manusia yang mempunyai kebebasan sakral adalah manusia yang angkug dan takabur. Dalam tafsir Al-Manar , beliau menjelaskan bahawa manusia sungguhpun berbuat sesuatu atas kemahuan dan pilihannya sendiri, tidaklah sempurna daya, kemahuan dan pengetahuannya. Kebebasan manusia mempunyai batas-batasnya.
Seseorang , umpamanya , ingin menyenangkan hati sahabatnya tetapi yang terjadi ialah sebaliknya ; dia membuat temannya marah. Atau seseorang ingin mencapai suatu tujuan , tetapi tidak dapat mencapainya ; atau seseorang ingin melepaskan dirinya dari bahaya tetapi jatih ke dalamnya. Sebab-sebab kegagalan yang dihadapi manusia adalah terletak pada dirinya sendiri. Dalam persoalan kegagalan manusia , manusialah yang harus dipersalahkan kerana tidak berusaha sehabis baik untuk mengelak kegagalan. Jadi , kebebasan manusia dalam kemahuan dan perbuatan dibatasi oleh dirinya sendiri atau dalam kata-kata Muhammad Abduh "Taqsir (kelemahan manusia)".
Kalau punca kegagalan itu tidak disebabkan oleh manusia, ada sumber lain yang menyebabkan kegagalan. Sebagai contoh , badai yang menenggelamkan kapal yang sarat dengan barang dagangan, kematian akibat disambar petir ,kehilangan harta benda disebabkan bencana yang melanda. Keterbatasan manusia disini datang dalam bentuk kejadian-kejadian alam yang tidak diduga.
Muhammad Abduh tidak menyebut keterbatasan dalam bentuk lain. Timbul persoalan - adakah kehendak dan kekuasaan Allah tidak membatasi kemahuan dan kebebasan manusia? Jawapannya " Ya" tetapi pembatasan itu terjadi melalui hukum alam ciptaan Allah. Muhammad Abduh menjelaskan bahawa kekuatan-kekuatan alam membatasi kemahuan dan kekuasaan manusia , hal ini menyedarkan manusia bahawa di alam wujud ini terdapat suatu kekuatan yang lebih tinggi , yang tidak dapat dijangkau oleh kekuatan manusia. Manusia harus sedar bahawa "seluruh kejadian di alam ini bergantung pada suatu wujud yang mesti ADA ,yang mengatur segala-galanya sesuai dengan pengetuahan dan kehendakNya. Kekuatan-kekuatan alam yang membatasi kebebasan manusia adalah kejadian-kejadian alam. Kejadian alam ini berlaku sesuai dengan sunnah Allah , hukum alam yang diciptakan sesuai dengan pengetahuannya.


