Saturday, 2 August 2014

CERMIN MIMPI


Di balik cermin mimpi
Aku melihat engkau
Di dalam engkau
Aku melihat aku
Ternyata kita adalah sama
Di arena mimpi yang penuh bermakna

Bila bulan bersatu dengan mentari
Bayang-bayang ku hilang
Di selebungi kerdip nurani
Mencurah kasih, kasih murni
Mencurah kasih

Di balik cermin, cermin mimpi
Adalah realiti yang tidak kita sedari
Hanya keyakinan dapat merestui
Hakikat cinta yang sejati

Dengan tersingkapnya tabir siang
Wajah kita jelas terbayang
Dan terpecah cermin mimpi
Menjadi sinar pelangi


Sunday, 27 July 2014

Bedah pemikiran Muhammad Abduh - Kebebasan Manusia dan Fatalisme bahagian 2




Sudah jelas bahawa manusia dalam pendapat Muhammad abduh diberi Tuhan kebebasan dalam kemahuan dan perbuatan , timbul pertanyaan sejauh manakah kebebasan itu? Manusia baginya tidak mempunyai kebebasan sakral(mutlak). Ia menyebut orang yang mengatakan manusia yang mempunyai kebebasan sakral adalah manusia yang angkug dan takabur. Dalam tafsir Al-Manar , beliau menjelaskan bahawa manusia sungguhpun berbuat sesuatu atas kemahuan dan pilihannya sendiri, tidaklah sempurna daya, kemahuan dan pengetahuannya. Kebebasan manusia mempunyai batas-batasnya.

Seseorang , umpamanya , ingin menyenangkan hati sahabatnya tetapi yang terjadi ialah sebaliknya ; dia membuat temannya marah. Atau seseorang ingin mencapai suatu tujuan , tetapi tidak dapat mencapainya ; atau seseorang ingin melepaskan dirinya dari bahaya tetapi jatih ke dalamnya. Sebab-sebab kegagalan yang dihadapi manusia adalah terletak pada dirinya sendiri. Dalam persoalan kegagalan manusia , manusialah yang harus dipersalahkan kerana tidak berusaha sehabis baik untuk mengelak kegagalan. Jadi , kebebasan manusia dalam kemahuan dan perbuatan dibatasi oleh dirinya sendiri atau dalam kata-kata Muhammad Abduh "Taqsir (kelemahan manusia)".

Kalau punca kegagalan itu tidak disebabkan oleh manusia, ada sumber lain yang menyebabkan kegagalan. Sebagai contoh , badai yang menenggelamkan kapal yang sarat dengan barang dagangan, kematian akibat disambar petir ,kehilangan harta benda disebabkan bencana yang melanda. Keterbatasan  manusia disini datang dalam bentuk kejadian-kejadian alam yang tidak diduga.

Muhammad Abduh tidak menyebut keterbatasan dalam bentuk lain. Timbul persoalan - adakah kehendak dan kekuasaan Allah tidak membatasi kemahuan dan kebebasan manusia? Jawapannya " Ya" tetapi pembatasan itu terjadi melalui hukum alam ciptaan Allah. Muhammad Abduh menjelaskan bahawa kekuatan-kekuatan alam membatasi kemahuan dan kekuasaan manusia , hal ini menyedarkan manusia bahawa di alam wujud ini terdapat suatu kekuatan yang lebih tinggi , yang tidak dapat dijangkau oleh kekuatan manusia. Manusia harus sedar bahawa "seluruh kejadian di alam ini bergantung pada suatu wujud yang mesti ADA ,yang mengatur segala-galanya  sesuai dengan pengetuahan dan kehendakNya. Kekuatan-kekuatan alam yang membatasi kebebasan manusia adalah kejadian-kejadian alam. Kejadian alam ini berlaku sesuai dengan sunnah Allah , hukum alam yang diciptakan sesuai dengan pengetahuannya.


Saturday, 26 July 2014

Bedah Pemikiran Muhammad Abduh - Kebebasan Manusia dan Fatalisme bahagian 1




Dalam teologi terdapat 2 konsep mengenai hubungan tuhan dan manusia . Satu pendapat mengatakan bahawa semua perbuatan manusia telah ditentukan semenjak azali, sebelum ia lahir dan fahaman ini dalam teologi islam disebut Jabariah. Dalam teologi barat pendapat itu disebut fatalisme atau predestination. Pendapat lain mengatakan bahawa manusia mempunyai kebebasan walaupun terbatas dengan keterbatasan alam fizikal dalam menangani kemahuan dan perbuatan ,fahaman ini disebut Qadariah dan dalam teologi barat disebut free will and free act, kebebasan manusia dalam menentukan kemahuan dan perbuatan yang hendak dilaksanakan.

Pemikiran yang aku kemukakan ini adalah berdasarkan Tafsir Al-Manar dan Risalah Al-Tahwid karangan Muhammad Abduh .

Mari kita teruskan , sebagai seorang pemikir dan pemimpin penting dalam pembaharuan islam pada abad ke 20, pendapat Muhammad Abduh mengenai Jabariah dan Qadariah ini penting untuk diketahui. Adakah dia berpegang pada fahaman jabariah sehingga manusia dalam fahaman ini bersifat pasif dan menunggu takdir sahaja? Atau dia berpegang pada fahaman qadariah sehingga manusia menurut fahaman ini bersifat dinamis dan aktif dalam mencorakkan kehidupan selarah dengan tanggungjawabnya sebagai khalifah di dunia ini.

Dalam membicarakan perbuatan manusia dalam Risalah Al-Tawhid,  Muhammad Abduh mengatakan bahawa sebagai manusia tahu akan wujud dirinya tanpa memerlukan sebarang bukti untuk mengesahkan dirinya benar-benar wujud, begitu jugalah ia mengetahui adanya perbuatan atas pilihan sendiri dalam dirinya. Hukum alam yang menentukan adanya perbuatan atas pilihannya sendiri itu dalam diri manusia. Muhammad Abduh percaya pada pendapat yang mengatakan alam ini diatur oleh hukum alam yang tidak berubah yang ditetapkan oleh Allah SWT(perkara ini dibincang dengan lebih lanjut oleh Ikhwan as Syafa dalam karya Rasail) . Hukum alam ini ciptaan Allah ini disebut sebagai Sunnah Allah . Sunnah Allah , dalam pendapatnya mencakupi semua makhluk sama ada di angkasa , darat mahupun alam lain. Segala yang ada di alam ini diciptakan sesuai dengan hukum alam (sunnah Allah). Manusia tidak terkecuali dari ketentuan universal ini. Manusia diciptakan sesuai dengan sifat-sifat dasar yang khusus baginya dam dua diantarnya , menurut Muhammad Abduh  berfikir dan memilih perbuatan yang sesuai dengan pemikirannya.

Firman :
 "Padahal Allahlah yang menciptakan kamu dan apa-apa yang kamu perbuat" As-Shaffat -96

Jadi manusia selain dari mempunyai daya berfikir , juga mempunyai kebebasan memilih yang merupakan sifat dasar alam yang mesti ada dalam diri manusia. Kalau sifat dasar ini hilang dari dirinya , dia bukan manusia lagi ,tetapi menjadi makhluk lain. Manusia dengan akalnya mempertimbangkan akibat perbuatan yang akan dilakukannya, kemudian mengambil.keputusan dengan kemahuannya sendiri dan selanjutnya mewujudkan perbuatan dengan daya yang ada pada dirinya.

Jelas bagi Muhammad Abduh , manusia secara alami mempunyai kebebasan dalam menentukan kemahuan dan perbuatan. Manusia tidak berbuat sesuatu kecuali setelah mempertimbangkan akibat-akibatnya dan atas pertimbagan inilah ia mengambil keputusan melaksakannya atau tidak melaksanakannya. Maka sejalan dengan keyakinan bahawa manusia , menurut hukum alam ciptaan Allah mempunyai kebebasan dalam kemahuan , manusia menurut Sunnah Allah juga mempunyai daya dalam dirinya untuk mewujudkan perbuatan yanh dikehendakinya itu. Hal ini ditegaskan oleh Muhammad Abduh, dalam melaksanakan perbuatannya baik fizikal mahupun pemikiran kerana manusia menurut hukum alam atau sunnah Allah mempunyai kebebasan dalam kemahuan dan daya untuk mewujudkan kemahuan itu. Fahaman perbuatan yang dipaksakan atas manusia atau Jabariah tidak sealiran dengan pandangan Mummad Abduh. Menurut Muhammad Abduh , manusia adalah manusia kerana ia mempunyai kemampuan berfikir dan kebebasan memilih . Oleh kerana itu dalam pemberian wujud bagi manusia tidak termasuk paksaan berbuat.

Firman :
 "Demi kekuasaam Engkau ,aku akan menyesatkan mereka semua , kecuali hamba-hamba Mu yang ikhlas" Shaad :82,83



Saturday, 19 July 2014

MAAFKAN AKU

Kalau ku tahu diri ini tak mampu
Tak akan ku lewati sejuta onak dan seribu kepedihan
Tak akan ku selami samudra yang tak berhingga dalamnya
Tak akan kudaki puncak yang tak terukur tingginya
Tapi ku tak tahu dan aku terlalu bodoh
Untuk mengerti semua ini

Ada perlumbaan berat untuk menggapai sebuah keagungan
Ada ribuan nyawa melayang dan berkeping hati terbakar oleh cinta 
Melanjutkan pengembaraan tak berpenghujung ini
Cinta MU telah merasuk dalam sukma dan membakar seluruh tubuhku untuk terus merangkak 
Sehingga tak terasa apapun selain kerinduan padaMU 
Kalau ku tahu ENGKAU terlalu agung untuk kucintai
Tentu tak ku lewati jalan tak berpenghujung ini
Tak ku berhasrat memiliki semua angan indah kepada MU
Tapi engkau telah tambatkan hati lemah ini kepada cinta suciMU
Hingga aku tak bisa berpaling lagi dari MU 

Walaupun badaikan menghadang dan sejuta kepedihan mengiringi hidup
Tak ku sesali…karena ENGKAU telah memberikan segalanya padaku
Segala kebahagiaan yang tak pernah ku
gapai sepanjang hidupku

Maafkan ku Ya Rabb

Thursday, 3 July 2014

Tanpa Cinta, Segalanya Tak Bernilai


Jika engkau bukan seorang pencinta,
maka jangan pandang hidupmu adalah hidup
Sebab tanpa Cinta, segala perbuatan tidak akan
dihitung Pada Hari Perhitungan nanti
Setiap waktu yang berlalu tanpa Cinta,
akan menjelma menjadi wajah yang memalukan di hadapan-Nya.
Burung-burung Kesedaran telah turun dari langit
dan terikat pada bumi sepanjang dua atau tiga hari
Mereka merupakan bintang-bintang di langit
agama yang dikirim dari langit ke bumi
Demikian pentingnya Penyatuan dengan Allah
dan betapa menderitanya Keterpisahan denganNya.
Wahai angin, buatlah tarian ranting-ranting
dalam zikir hari yang kau gerakkan dari kesatuan
Lihatlah pepohonan ini! Semuanya gembira
bagaikan sekumpulan kebahagiaan
Tetapi wahai bunga ungu, mengapakah engkau larut dalam kepedihan?
Sang lili berbisik pada kuncup: “Matamu yang menguncup akan segera mekar. Sebab engkau telah merasakan bagaimana Nikmatnya Kebaikan.”
Di manapun, jalan untuk mencapai Kesucian Hati
adalah melalui Kerendahan Hati.
Hingga dia akan sampai pada jawaban “YA” dalam pertanyaan:
“Bukankah Aku ini Rabb-mu?"

Jallaludin Al-Rumi

Friday, 27 June 2014

PENCARIAN

Paling aku tidak mengerti
bagaimana mahu menyeru-Mu
jika nama juga hijab
antara Engkau dengan aku.

Engkau esa
tiada hijab menemani Mu
mana mungkin Engkau terhijab.

Berapa banyak hati sudah hancur luluh
dalam merindui Mu
berapa banyak fikiran telah berkecai
dalam mencari Mu.

Engkau dekat
tetapi bila didekati Engkau menjauh
bila berhenti Engkau melambai
bila dikejar Engkau menjauh kembali.

Bila aku di tangga rumah Mu
Engkau menutup pintu
bila aku undur
Engkau membuka jendela
bila aku mengintai
Engkau melabuhkan langsir.

Dalam kepayahan ini
daku perlukan penawar
penawar itu ada pada tangan Mu
namun aku malu menghulurkan tanganku yang cemar
untuk disambut oleh tangan Mu yang suci.

Aku tidak tergamak meminta Engkau menjadi teman
kerana aku tidak pernah membuktikan kesetiaan sebagai hamba
namun hatiku gila kepada Mu
tetapi aku malu memanggil Engkau kekasih
kerana aku tersangat hodoh dan hina.

Janganlah Engkau murka
lantaran si hodoh dan hina ini mengasihi Mu.

Wajahku yang hodoh dan hina
tidak layak Engkau tatapi
Wajah Mu yang cantik berseri
tidak layak aku tatapi
di atas tangga rumah Mu aku terlena
dengan harapan mataku tidak terbuka lagi
kerana aku tidak tahan merindui Mu.

Izinkan daku bermalam di tangga rumah Mu
dan memejam mataku di situ
agar apabila Engkau membuka pintu
Engkau memandang kepada ku
walaupun daku tidak memandang kepada Mu.

Taman sufi

Saturday, 31 May 2014

AKU DAN MAKHLUK


Bila makhluk bertanya
siapakah yang paling mulia
aku menjawab:
akulah yang paling mulia
aku sangat berbangga kerana
Allah adalah Tuhanku
Muhammad s.a.w adalah penghuluku
ini sudah cukup membuatku berasa kaya dan mulia.

Bila Engkau bertanya
maka aku menjawab:
aku adalah yang paling hina, daif dan jahil
inilah hamba yang faqir.

Janganlah Engkau murka
lantaran daku berbangga di hadapan makhluk-Mu
bila mereka berbangga dengan pangkat, harta dan keturunan
izinkan daku berbangga sebagai hamba-Mu.

-taman sufi

Sunday, 4 May 2014

WAHAI KAUM KAPITALIS


Wahai kaum kapitalis,
Hadir kau di bumi ini bak penyelamat si penganggur,
Membawa seribu satu rahmat dari kami sendiri,
Kau membentuk hidup aku,
Di tadika aku disuruh bercita-cita menjadi kelas elit proletariat,
Dari doktor sehingga pegawai polis,
Semuanya impian yang indah dalam duniamu,
Apabila tidak mampu aku capai impian itu,
Kau menawarkann aku peluang menjadi tenaga kerja kau untuk menyelongkar harta kekayaan demimu,
Kami berpeluh-peluh ,
Kami berpanas-panas ,
Tapi mengapa kau yang menikmati hampir kesemuanya?
Hampir kesemuanya,
Hampir kesemuanya,
Akhir bulan aku menanti ganjaran dari titik peluh aku hanya untuk menjadi konsumer yang bakal menambahkan kekayaan kau,

Engkau menguasai segala senario,
Bak watak suci,
Terpampang di muka hadapan Forbes,
Kononnya insan kebanggaan bangsa,
Segalanya kau bolot ,
Tinggalkan aku sisa-sisa sahaja,

Inikah keadilan?,
Yang kaya semakin kaya,
Yang miskin terperosok dari dunia.

Yang kaya dia bukan kau!



Tuesday, 15 April 2014

Revolusi 1

     Peristiwa-peristiwa semasa berbeza daripada sejarah kerana kita tidak mengetahui natijah-natijah daripadanya. Dengan melihat kembali ke belakang, kita boleh menilai kepentingan sesuatu kejadian dan mengenalpasti kesan-kesannya ke atas kita. Tetapi ketika sesuatu kejadian sejarah itu berlaku, ia belum lagi menjadi sejarah bagi kita. Ia membawa kita ke wilayah yang asing dan jarang kita dapat meneka apa yang sedang menanti kita dalam wilayah asing itu. Berlainan keadaannya jika kita mendapat peluang untuk menempuh peristiwa yang sama buat kali kedua dengan segala pengetahuan yg telah kita perolehi daripada pengalaman pertama. Ketika itu tentu berbeza sekali cara kita melihat peristiwa-peristiwa dan tentu kita akan lebih dapat melihat kepentingan sesuatu perubahan atau merasa bimbang, sedangkan semua itu tidak begitu jelas pada pandangan kita sekarang. Mungkin baik juga manusia tidak mampu mengalami perkara ini dan tidak pula mengetahui hukum yang mesti dipatuhi oleh sejarah.

      Walaupun sejarah tidak pernah berulang dalam eksentensi yang sama dan tidak ada perkembangan yang tidak dapat dielakkan , kita mampu sedikit sebanyak belajar dari masa silam untuk tidak mengulangi kesilapan yang sama. Kita tak perlu menjadi nabi untuk memgagak bahaya-bahaya yang menanti. Gabungan antara pengalaman dan minat, seseorang mampu menyingkap sisi-sisi yang belum dapat dilihat oleh sebahagian besar massa.

     Lembaran seterusnya nanti adalah buah daripada pengalaman yang hampir sama seperti pengalaman menempuh sejarah sebanyak 2 kali atau sekurang-kurangnya pengalaman menyaksikan revolusi gagasan-gagasan yang hampir sama. Pengalaman ini mungkin tidak dapat ditimba dalam hanya sebuah negara, namun dalam keadaan tertentu ia dapat ditimba apabila seseorang itu hidup dalam jangka masa yang agak panjang. Walaupun pengaruh-pengaruh yang memandu cara pemikiran di kebanyakan negara bangsa adalah hampir sama, ia mungkinboleh bergerak pada kelajuan yang sama. Justeru itu, sekiranya seseorang itu hidup dalam tempoh masa yang agak lama, seseorang itu berkemungkinan sempat menyaksikan fasa-fasa revolusi yang hampir sama. Apabila orang berkenaan mendengar pandangan yang sama atau saranan yang sama seperti yang pernah didengar berpuluh tahun dahulu, dia memahami semua itu sebagai gejala yang akan menjadi catalyst aksi revolusi yang akan berlaku. Semua itu menunjukkan bahawa sekurang-kurangnya perkembangan yang hampir sama akan terjadi.

Thursday, 27 March 2014

AKU DALAM AKU


Aku dilahirkan seperti kain putih ketika itu.
Aku mula diasuh dengan acuan emas.
Aku mula mengikut cara-cara berdogma.
Ya aku mula melihat aku disyurga ketika itu.
Aku mula jauhkan diri dari lautan api-Mu.
Aku mula mendayung menuju syurga-Mu.

Tetapi didalam perjalanan .
Aku mula merasakan dogma keemasan aku kini menjadi tembaga bersalut berlian.
Aku temui keindahan syurga di sini.
Aku tetlihat neraka di sana.
Inilah keindahannya nyata.
Bermula kepercayaan pada karma.
Tiada cahaya buatku di sana.
Bermula di sini, berakhir di sini.
Di sini dan di sana terasing dua jiwa yang tidak wujud.
Aku terus mendayung sampan tanpa menghiraukan mereka yang hampir ditelan api-Mu.
Aku untuk aku  ,
Sampanku hanya untuk aku dan kerabatku.
Ya aku tidak peduli tentang kebuluran kau.
Yang penting bagiku adalah syurgaku.

Lalu tiba-tiba sampanku karam.
Aku tengelam dibawa arus .
Aku fikir aku telah mati dalam kesedaran palsu.
Tetapi aku terdampar di sebuah pulau yang semakin dihakis ombak kepincanggan.
Aku terlihat perjalananku semula dari pulau ini.
Terlalu jauh aku telah ternoda.
Ramai yang terdampar tanpa pertolongan dinodai ombak-ombak ketakutan.

Kini aku memikirkan bahawa sampanku bukan untuk aku.
Tidak mengapa.
Kau menyusurilah jalan ke syurgamu itu.
Aku bakal menyusul kemudian hari.
Menyusuri jalan yang lain.

Selamat jalan untuk aku dalam aku.





Wednesday, 5 March 2014

MASALAH MENYESATKAN MAZHAB LAIN TANPA AKIDAH KUKUH.

Sebenarnya saya bukanlah seorang yang syiah ataupun bermazhab sunni. Saya adalah seorang muslim. Dan apabila saya melakukan satu perkara sunnah , maka ketika itu saya adalah seorang ahli sunnah wal jamaah. Apabila saya tidak melakukan sebarang sunnah maka ketika itu saya bukanlah seorang ahli sunnah wal jamaah. Saya tidak ingin mencemarkan gelaran yang Rasulullah berikan kepada mereka yang mengamalkan sunnah baginda dan menjadikan Al-Quran sebagai panduan hidup . Adakah kita layak digelar sebagai ahli sunnah wal jammah sedangkan kita tidak mengamalkan sunnah Rasulullah?

Persoalan ini harus dijawab oleh diri anda sendiri.

Setiap hari kita menuduh orang lain sesat , tetapi adakah kita ini tidak sesat apabila mengatakan orang lain sesat? Adakah kita memiliki autoriti tuhan untuk menyesatkan orang lain?. Kita harus memahami bukan hanya menghukum. Sebagai contoh " seorang Buddhist datang kepada anda dan mengatakan anda sesat , pasti anda menyuruh dia mendalami Al-Quran dahulu sebelum menilai adakah anda sesat. Tetapi adakah anda sebagai islam bersedia untuk mendalami kitab mereka?" Pasti anda tidak berani mendalami kitab-kitab mereka. Kenapa? . Alasan yang paling mudah ialah "takut sesat". Jika akidah tauhid anda sudah kukuh , rasanya tidak menjadi masalah untuk anda mendalami agama lain. Sukar untuk terpesong dari jalan ke syurga yang telah anda pilih.  Apa yang kita fikirkan tidak semestinya kita mengimani apa yang kita fikirkan.

Akidah perlu dimantapkan sebelum berbicara mengenai mazhab lain . Dan sikap fanatik terhadap mazhab perlu dikikis , kerana ia akan memecahbelahkan umat islam . Fanatik mazhab ini boleh diibaratkan seperti nasionalisme negara bangsa. Sekiranya anda tetap ingin mengatakan syiah sesat dan andalah yang berada di jalan kebenaran hakiki , kenapa anda tidak mengatakan muta'zillah sesat? Sedangkan lahirnya mazhab Sunni daripada rahim pemikiran Abu Hasan Asy'ari dan Abu mansur al-matuidi. Kelahiran mazhab sunni adalah disebabkan Kekhilafan mazhab Muta'zillah yang mengagungkan ilmu kalam sehingga membuat hukum berdasarkan akal tanpa menggunakan Al-Quran. Kenapa anda tidak mengatakan muta'zillah sesat? Kenapa? Sedangkan penganut muta'zillah masih ada sehingga ke hari ini. Kenapa anda sebagai seorang yang bermazhab sunni tidak menyesatkan orang yang bermazhab murji'ah? Dalam surah al-taubah ayat 106 ada menyatakan tentang latar belakang kemuculan golongan ini.

Kenapa sunni hanya memfokuskan kesesatan hanya pada syiah ? Kenapa?
Di manakah kesesatan yang lain?


Saya tidak mengatakan syiah betul dan saya juga tidak mengatakan syiah sesat.

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Abbas r.a , daripada Rasulullah SAW , baginda bersabda : "Janganlah bergantung pada manusia walaupun dengan alat pembersih gigi"- Riwayat al-Haitsami


Saya mempercayai tidak ada kebenaran mutlak di dunia. Kebenaran mutlak hanyalah milik Allah Azzawajalla.